Friday, October 5, 2012

HARI-HARI MARYAM

Pagi tadi, Jumaat bersamaa dengan 19 Zulkaedah...Maryam seperti hari-hari yang lalu kelihatan girang...ceria dan bersemangat untuk ke sekolah.  Tapi mesti diakui Maryam anak perempuanku gemar melawa...suka bersiap dan kelihatan kemas.  (Bukan aku kalau sifat begitu...aku dan abahnya lebih sifat sempoiii...)

Pagi tadi lengkap berpakai sekolah hari Jumaat...tiba-tiba bila keluar kereta, kelihatan dia mengenakan cardigan pink kaler yang dihadiahkan oleh Mak Longnya....Aku berseloroh dengan Ustazahnya...Maryam hari ni "mood bergaya"...Ustazahnya tersenyum dan berkata, Maryam memang selalu bergaya...Aku tersenyum dan gelak pun ada...terutama dia bila tengok gaya bersahajanya....

Minggu lepas juga begitu, untuk beberapa hari dia memakai cekak rambut ber"reben pink" (hadiah kawan sepejabatku pada Maryam) walaupun mula-muka kukatakan padanya...tak payah lah pakai....pakai tudung je...dia buat tak tahu je terus keluar dari kereta dengan memakai cekak...hari-hari kemudiannya pun begitu namun aku buat tak tahu je lah....sehinggalah beberapa hari kemudian, tak pakai lagi cekak tu....bila ditanya kenapa...dia berkata...dah patah...selamba jer muka dan nadanya...

Aku perhatikan Maryam akan bangun dan ceria untuk ke sekolah kalau (1) cukup tidur (2) dapat apa yang diidamkan untuk di bawa ke sekolah hatta sebiji epal pun atau sebungkus nasi lemak (kalau tak bagi mood dia terus down...) (3) lebih bersemangat untuk ke sekolah kalau malamnya  ada sesuatu yang hendak dibawa ke sekolah untuk dikongsi bersama kawan-kawan (contohnya coklat, kuih atau kek) atau ada apa-apa majlis di sekolah....

reben atas tudung tu....very bright pink... dah tu besar pulak tu...kalau aku tak pakai lah...

pintu utama untuk ke Tadika Dzul Iman Smart Khalifah....pintu inilah setiap hari pagi dan petang, menghantar dan mengambil Maryam pulang dan sentiasa diiringi seorang guru yang bertugas...

hah..tido pun pakai...
Setiap pagi semasa berangkat keluar, kami sama-sama baca doa bangun tidur...(hehehe selalu lupa nak baca selepas bangun tido), diikuti dengan doa keluar rumah (pendek jer) dan masuk kereta terus membaca doa naik kenderaan.....begitulah setiap hari...hari-hari bersama Maryam....

Tuesday, October 2, 2012

Musibah dan Hikmah sebaliknya

Melangkah masuk ke dalam rumah, maryam berkata Mama buah kurma jatuh...aku melihat sekeliling rumah...barang-barang bersepah-sepah bagai ada seseorang yang mahu mencari sesuatu....eih...macam....

Aku terlihat cermin pintu kayu pecah...Hmmm sahlah rumahku dipecah masuk...

Suami balik, kami berdua investigate seluruh rumah melihat apa yang hilang dicuri...pencuri...

Kami ke Balai Polis buat laporan...polis bertanya tentang kerugian...kami tersenyum...dia berkata lagi, saya tuliskan kerugian belum dapat dipastikan...kami mengangguk.

Sementara menunggu IO datang membuat siasatan di rumah kami, kami check lagi apa mungkin barang berharga yang diambil....

IO tiba dengan seorang jurugambar dan seorang polis lain....kata mereka modus operandi yang sama...rumah tepi, pecah cermin, waktu bekerja....orang-oang Guatamala..... Mereka bertanya lagi apa yang hilang...

IO bertanya, wang ringgit...kami menggeleng
barang kemas...kami menggeleng
lap top....juga menggeleng
iphone...ipad,,,ipod...kami menggeleng lagi
PS2.....

Sepantas kilat suami berlari masuk ke rumah....
Dia memanggil namaku...
PS2 dah tak de....
kami berdua tersenyum...
IO meminta kami membuat laporan tambahan. Kami mengangguk tersenyum

Suami berkata padaku, ada hikamh sebalik musibah yang berlaku.
Aku bersetuju dengan kata-katanya. Kami tak pergi pun buat laporan tambahan.

Bila adikku di FB menyatakan simpatinya tentang apa yang berlaku...dan menyatakan hasrat ingin menggantikan PS2 yang hilang, aku menjawab, we ve been trying to get rid of the PS2 and now it's done...

Anak-anak sedih juga dengan kehilangan PS2 kesayanagan mereka yang sering menjadi punca perbalahan sesama mereka...kini tiada lagi...kebetulan ketiga-tiga anak balik cuti bulanan, seminggu selepas kejadian pecah rumah itu, mereka semuanya lepak di depan tv tanpa PS2 berbual dan beberapa ketika bermain karom....

nak kena ganti cermin ni...tulah bila hubby kata soh pasang grill tak ndak....

Berkemaslah aku .....geng guatamala nyer hal....


Benarlan takdir Allah biar pahit tentu ada hikmahnya...kami bersyukur dan mudah-mudahan diberkati...

Wednesday, August 29, 2012

Bingkisan Raya Maryam

2011

2012

Kisah Luqman...




Bila anak-anak pulang untuk bercuti serentak...memang penat melayan karenah anak-anak tapi menghiburkan...al-maklumlah ketiga-tiga anak tinggal di asrama.  Rindu terubat tapi kadang kala bila dah lama sikit jaringan kesabaran juga terlepas...iyelah karenah anak-anak namaya dan ibunya pulak selalu terlupa pemikiran anak tidak sama dengan pemikirannya yang dah matang (dah berusia, tualah tu).

Macam biasa Luqman dua tiga hari sebelum cuti habis, merengek-rengek di telinga mama dia yang dia tak suka ke asrama..."Mama Luqman nak sekolah dan duduk kat rumah je"...itulah yang diulang-ulang.  Sehinggakan dari rasa kasihan jadi nak marah...kenapa eik kita rasa nak marah. Lepas rasa marah,asa kesian pulak datang...kesian anak aku...tapi do I have a choice?

Memanglah zaman dulu-dulu, zaman kita, tak ramai orang yang boleh terfikir untuk hantar anak menghafal  Quran...nak jadi apa, ustaz...ustazah...?? Duit bukan boleh datang dari langit nak senang kena kerja...belajar sungguh-sungguh...jadi doktor, lawyer, engineer...Hahahah itu metaliti dulu...masa dulu siapa pernah solat dhuha kat sekolah ke kat surau ofis ke....itu zaman dulu...sekarang dah lain, kita semua dah makin berilmu.

Pernah terdengar cerita mengenai parent yang berhentikan anaknya dari sekolah agama kerana anaknya  minta dihantar ke sekolah harian biasa....parent tu pun buat apa yang diminta anak mereka.  Bila dah besar dan matang, anak itu bertanya mak abah kenapa dengar kata anak kecil yang dah tentu belum bisa berfikir dengan waras... Maka itu kita tak nak berlaku perkara itu...ikut sangat anak...kan ini jalan terbaik... Selalunya kalau nak ubatkan renggekannya itu, kita selalu kata mama tengah cari sekolah lain lah ni....

Kita ada juga bertanya-tanyakan pandangan teman-teman mengenai masalah  Luqman selain dari  selidik  dengan bertanya-tanya ibu Ustaz (yang menjaga hal ehwal asrama) mengenai Luqman dan kalau ada apa-apa cerita yang memusykilkan.  Ustaz pula nampaknya OK dan mesra dengan anak-anak muridnya...takde yang meragukan.  Kita tanya juga Haziq (yang kata asrama OK je...no problem pun) dan dari mata kasar bila setiap minggu melawat anak-anak...tak nampak apa-apa yang ganjil, pelik atau misteri...Setiap kali kita hantar anak-anak pulan ke asrama (selepas outing), selalunya anak-anak akan terus ke kawan-kawannya dan nampaknya mereka sangat mesra.  So, betullah ada pendapat kata, jangan turutkan sangat kata anak...mereka tak tahu...kita yang tahu apa yang terbaik untuk mereka.

Bila tanya kenapa tak suka balik asrama, macam-macam sebab dari sebab kawan-kawan, ustaz pilih kasihlah, sehinggalah "rindukan mama dan abah" aah...yang tu kita tak tahan nak dengar...tapi kalau ditanya pada abangnya, Haziq rupanya Luqman pun kaki usik orang juga....so....sebab tu pelajar lain pun mainkan dia....Tapi bilan sesekali berjumpa kalau dia komplen nak berhenti dan balik rumah kita layan je dia tapi sebenarnya tak terlintas langsung untuk berhentikan dia.  Back to basic, anak-anak mesti katham quran dan berdampingan dengan Kallamullah itu dari usia kecil...sebelum melangkah ke dunia material...Al Quran tunggak pedoman orang Islam, maka itu kenalah kita memorise semua yang termaktub dalam Quran. Memanglah kita nak hafal satu surah pun payah inikan nak menghafal kesemua juzuk 30 pun.  huihh...

Petang nak hantar anak-anak pulang ke asrama, Luqman masih merengek tapi kali ini dengan linangan airmata....Kita pura-pura buat tak tahu je dengan Luqman...tapi tangisannya meruntun jiwa seorang ibu...waktu itu terfikir juga takut nanti dia tertekan...tapi kita kuatkan semangat...anak-anak Mama mesti hafal Al Quran dulu!

Malam itu dia merengek lagi tapi kali ini alasan tak nak balik asram sebab tak de kasut bola...semua orang ada kasut bola...nanati nak main bola pakai apa....kita pun siap-siap terus minta Abahnya ke Al-Ikhlas, belikan dia sepasang kasut bola. Hasilnya amat memberangsangkan. :) Luqman kembali ceria dan tenang sepanjang perjalanan ke Desa Pinggiran Putra.  Phew...lega.  Selesai satu episod ntahlah nanti esok-esok nak apa lagilah si Luqman....:)) Tak pe tu fikir kemudian.

Itulah anak-anak, perlu dipujuk, dibelai dan diberikan perhatian.....Malam ku tinggalkan anak-anak di MTQI Desa Pinggiran Putra, Luqman sudah boleh tersenyum dan girang bersama-sama teman-teman seasrama.

Yang baik sukar diajar dan diamalkan tapi kalau yang lagho...tak payah ajar....tahu je...

Haziq pula, di asrama, kata Luqman takde orang buat dia...kenapa pulak mcam tu?  Bilan tanya Haziq kenapa kawan-kawan usik Luqman?  Haziq kata  Luqman pun usik orang juga.  So, I rest my case.

Wajah-wajah quratun a'yun...
penyejuk mata memandang....

Luqman baris hadapai kiri disebelahnya Amirul Zahran...mesranya mereka.  Bertiga Luqman Azri, Ashraff dan Mir Afzal....Haziq masih membetulkan serbannya...Merenung jauh Aqif dan sebelahnya Faheem....Dua ibu bersama kalian...sentiasa...

 Malam terakhir cuti mereka, Haziq minta kita jangan tidur dulu...Mama jom kita lepak dulu...Hehehehe...nak lepak...oklah jom lepak.  Malam itu, semua anak-anak tidur sekatil termasuk Izzat.  Tinggallah Abahnya tidor di bawah je.

Hari ini Mama rindukan anak-anak Mama....


Wednesday, August 22, 2012

Berlalunya Ramadhan...Tibalah Syawal

Sebulan berpuasa menahan diri dari lapar dan dahaga, terasa sedikit benar ganjaran yang ditabungan...ntah-ntah tak de tapi kita diminta mengharap agar ALLAH menerima segala ibadah kita.

Usai berbuka untuk puasa terakhir Hijrah 1433 anak-anak sibuk minta bermain mercun.  Abang ipar membawa bekalan mercun dari Pahang bukan sikit-sikit mercun tapi nampaknya satu malam main tak habis.  Seronok melihat anak-anak seronok bergelak ketawa bermain mercun bersama sepupu-sepupu yang dah lama tek berjumpa.  Kami yang "umur terlampau" ni hanya menumpang seronok saja lah.

Anak-anak tahfiz ku benar-benar cuti raya sakannnn....dan bagi Maryam, kali pertama memegang dan bermain bunga api...khusyuk bermain tak ingat penat dan mengantuk...Walhal sebelum khabar berita mercun tu, kami sekeluarga bercadang ke Masjid Negeri untuk berjemaah isyak dan bertakbir....tapi agenda tetiba bertukar bila mendengar anak-anak nak bermain mercun...sedih jugak dirasakan kerana baru semalam yang lalu, mendengar ceramah mengenai amalan utama mengagungkan ALLAH dimalam tibanya Syawal...

Mungkin tahun hadapan...itupun InsyaAllah kalau kita sempat mengecapi Ramadhan lagi pada tahun hadapan.


Monday, August 13, 2012

Pantasnya Ramadhan...

Ya Allah Kami mohon keampunanMu...

Hari ini 24 Ramadhan 1433...duhai Ramadhan, hari demi harimu berlalu dengan begitu pantas....terlalu cepat berlalu meninggalkan kami yang sering terlalai dan tercuai merebut ganjaran yang ada pada Ramadhan...kenapa hati kami masih terbuai dengan keenakkan duniawi...kenapa hai kami masih tergoda dengan nikmat dunia yang kami tahu hanya sementara dan bukan yang kekal....?

Awal Ramadhan memohon rahmatNya....
Pertengahan Ramadhan memohon maghrifahNya...
Akhirnya memohon pembebasan dari api neraka...

Ya Allah pandanglah kami ini...
hambaMu ini mengharap, memohon dan merayu agar Engkau kurniakanlah kami rahmatMu, terimalah taubat kami dan bebaskanlah kami dari api neraka....

Ya Allah pandanglah kami ini...
tak seberapa amalan kami tapi kami mengharapkan rahmatMu, maghfirahMu dan mohon diselamatkan dari api neraka...

Ya Allah pandanglah kami ini ...
hambaMu yang hina dina, fakir dan miskin, dan tak punya apa-apa kerana apa yang ada pada kami adalah milikMu....

Ya Allah pandanglah kami ini...
kerana kami hanya adaMu...
kerana dalam hati kami hanya adaMu, Ya Allah....


_______________________________****************_______________________________

DOA RASULULLAH BILA BERTEMU (TANDA-TANDA) LAILATUL QADAR

للَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

 Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf  lagi Maha Mulia 
Sangat suka kepada kemaafan
maka maafkanlah daripada kesalahanku.





Tuesday, July 10, 2012

Persiapan Ramadhan...

Ramadhan akan tiba tak lama lagi.  Strategi menjelang Ramadhan adalah menyempurnakan segala kerja-kerja rumah yang tertunggak dan yang perlu dibuat bagi menyambut Syawal dalam minggu terakhir Syaaban. Manakala pada bulan Ramadhan pula agenda utama adalah beribadat dan selain itu  beramal dan beramal dan beramal....KPI bertemu lailatul qadar.

Monday, July 9, 2012

Bulan Syaaban dah...

Tahu tahu saje dah masuk bulan Syaaban... tahu tahu aje dah Nisfu Syaaban kini....tak lama lagi Ramadhan! Ramadhan...Ramadhan bulan Ramadhan dah nak datang!

23 Jun 2012, majlis resepsi Mohd Nor berjalan lancar...sangat lancar walaupun kami tak lantik wedding planner tapi banyak pihak yang bermurah hati membantu untuk menjayakan majlis resepsi yang diadakan di Dewan Guthrie Bukit Jelutong. Itu namanya rezeki...Tuhan memudahkan urusan walaupun ada hiccups sana sini dalam persiapan majlis itu, tapi semua bisa diatasi dengan kerjasama semua termasuk penjaga dewan yang sangat baik hati menyiapkan backdrop dewan dengan tak de upah!!. Alhamdulillah... Maha Pemberi dan Maha Pemberi Rezeki...Allahu Wahhab Allahu Rozaq.


Barakallah humma...chantek dan glame gitu...apapun moga berkekalah. Amin....


4 Julai 2012 Malam Nisfu Syaaban....kami tiga beranak ke Masjid An Naim di Jalan Kebun. Alhamdulillah...Allah Maha Memiliki Kebesaran...Allahu Mutakabbir.


"...Lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, maka Allah menyediakan untuk mereka pengampunan dan pahala yang besar." (Al-Ahzab:35).

Segala perjalanan hidup kita ditentukan oleh ALLAH.  Sering kali mengingatkan diri ini supaya melalui kehidupan itu mengikut batas-batas syariaat yang ditetapkanNya...kadang-kadang hati ini sering lalai dan lupa dengan nikmatNYa tetapi sentiasa saja mengingatkan kekurangan yang ada...Lama memikirkan kenapa diri ini tak boleh mencontohi Fatimah Azzahra yang berkhidmat mengurus rumahtangga dengan hanya mengharap redha Allah.  Atau mencontohi Asma Abu Bakar yang berbakti kepada suami dengan sehabis ikhlas walaupun suami yang dinikah tidak berharta.  Bila mengingatkan azab Allah...astagfirullah banyaknya dosa sehinggakan terasa diri ini tidak layak langsung untuk bermimpi ke syurga...tapi di mana tempat kita yang ada kala mengeluh, menyesali nasib dan mengungkit kebaikan yang dilakukan....ada kala bila iman sedang memuncak, menyesali dengan dosa yang dilakukan.... Itulah putaran roda kehidupan dan maka itu keimanan seharusnya dibajai setiap masa agar tidak ada pasang surutnya. Ya memang susah tapi itulah yang perlu dibuat kalau tidak tiada ganjaran syurga.

Ya Allah Ya Qahhar..berikanlah aku hidayahMu agar keimananku terus kukuh sehingga akhirnya.

cuma ingat-ingatan bagi semua...


Semalam melawat anak-anak yang kecil di Maahad Tahfiz, senyuman dan tawa mereka betul-betul penyejuk mata ibu yang melahirkan...qurratul a'yun...

Pimpinkanlah kami semua ke jalanMu ...tutupkan pinu hati kami dari jalan yang Kau murkai...


Selamat menjalani ibadah Syaaban.....

Wednesday, June 20, 2012

Sekarang dah berdua...

Pada hari Sabtu, 16 Jun 2012 yang lalu, anak saudaraku Mohd Nor yang pertama telah selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Lin.  Sama muda dan sama cantik....walaupun yang lelaki berkulit hitam manis dan yang perempuan berkulit putih kemerah-merahan.  Sedih lah pulak makcik-makcik dan pakcik-pakciknya, (juga sepupu-sepupu yang hadir kecuali yang kecil-kecil) sewaktu Mohd Nor selesai diijabkabulkan...ngalahkan mama pengantin....memasing sedih dan terharu....mungkin umur dan kematangan kami menyebabkan kami senang terasa sebak kerana lebih menghargai apa yang berlaku.

Lama juga aku dan Mohd Nor tinggal sebumbung...aku dan kakak sama-sama tukarkan lampin, bancuhkan susu, dodoikan tidur dan melayan si kecil yang memang tak banyak karenah.  Kami semua sayangkannya....dari kecil hingga dewasa di depan mata....tak sangka cepat sungguh takdir menentukan Mohd Nor baru mencecah 23 tahun dahpun menikah dan kini berdua!

Selamat Pengantin Baru, Mohd Nor dan Lin...semoga perkahwinan kalian kekal abadi dan sentiasa di dalam rahmat dan redhaNya.


Monday, June 11, 2012

Episod Hujung Minggu....


Oh...Maryam dah bawak balik buku baru ye....Oh, Maryam dah alih buku ye...Oh, Maryam dah habis buku lama, ye...Oh, Maryam dah start baca buku baru ye....Bermacam-macam soalan yang kulontarkan pada Maryam tapi tidak mengharap apa-apa respon pun darinya, yang sejak mula hanya memerhatikan ibunya ini begitu excited sebab dia membawa balik buku baru untuk home exercise...

Habis aku membelek buku, Maryam bersuara "habis buku ni nanti dapat buku cerita..." dengan penuh semangat....Kadang-kadang terfikir kenapa tak hantar anak-anak yang lain ke tadika waktu 4 tahun....tapi apa-apa pun segalanya anugerah Illahi...

Ini buku pertama...mula Januari 2011

Buku 2 pun dah habis...dan yang baru Buku 3 (Modul 6 & 7)

Walaupun dengan pujian sebegini, kanak-kanak sudah terasa benar-benar dihargai...

Alhamdulillah...itu episod Maryam yang akan menyambut hari ulangtahun kelahirannya ke-5..."my smart khalifah".

Kisah Izzat yang packing baju untuk balik asrama juga satu episod...bajunya bukan main banyak tapi cuti baru dua minggu...Macam packing nak gi belajar kat Madinah pulak ye....Izzat senyum....  





melipat baju natural skill bagi seorang yang bergelar ibu....kena cepat dan tangkas...sebelum baju-baju bertimbunan

Petang itu kami menghantarnya pulang ke asrama.  Singgah di asrama adik-adiknya.  Bersolat asar di masjid Besi, Putrajaya...seronok bila bersama anak-anak....

Teringat bila mereka masih bertiga...masa berlalu...akan terus berlalu....


"Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu"
(An-Nuur 24:64)

Monday, May 21, 2012

Semua Bukan Milik Kita....


Tak faham, kenapa orang jadi kedekut?  Kedekut dari segala segi...Aku mengingatkan diriku, diri anak-anak dan teman-teman...."apa yang kita miliki adalah dari kurniaan Allah dan semua bukan milik kita........"

Yang pasti, apa yang berlaku pagi ini adalah hikmah buatku dan pengajaran yang perlu dijadikan ikhtibar.  Mungkin juga aku pernah berbuat dosa membiarkan seseorang insan terasa terpinggir dan kecewa dengan sikap kedekut...dan kini aku merasakannya pula (sedang memujuk hati). Wallahua'lam.

Apa pun hatiku terasa sejuk mendengar bacaan surah Ad-Dhuha....terubat lara di hati  kerana karenah sesama manusia...itulah kehidupan duniawi yang tak putus-putus diuji dan teruji ...Antara sabar dengan tidak...kalau sabar Allah pasti memberi ganjaran.  Dan sesungguhnya kepada Allah saja yang perlu kita adukan masalah kita sebab dia Maha Agung dan Maha Pemberi....

Hayati makna surah Ad- Dhuha...Allah Maha Pengasih lagi Maha Pemberi....
[1]
Demi waktu dhuha,
[2]
Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
[3]
(Bahawa) Tuhanmu tidak meninggalkanmu, dan (pula) Ia tidak benci kepadamu

[4]
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
[5]
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
[6]
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
[7]
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk?
[8]
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
[9]
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
[10]
Adapun orang yang meminta maka janganlah engkau mengherdik;
[11]
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya


Berdoalah agar kita dikurnia olehNya anak-anak dan zuriat-zuriat keturunan yang beriman dan beramal soleh...

Berdoalah agar Hidayah dari Allah akan sentiasa bersama kita...  untuk selamanya...




Bedoalah agar kita akan akhirnya ditempatkan bersama-sama para shuhada dan orang-orang yang soleh...



Wednesday, May 16, 2012

SYUKUR...Tentulah Hanya Pada Allah!

Apabila menerima berita baik atau mendapat rezeki yang tak disangka-sangka (atau dah sangka pun)....hati akan pasti berbunga-bunga...hati bagai berkata yeah-yeah seronoknya! Sudah tentulah, antara lambat dan cepat saja, mesti kita akan berkata "terima kasih Allah" atau lebih terkesan mengucapkan "Alhamdulillah..."  kerana apa pun yang dimiliki itu adalah dari pemberianNya. 

Alhamdulillah...Syukurnye...Terima Kasih Allah...sebab hari ini kontraktor Aziz dah datang untuk memperbaiki bilik wudhuk di rumah...akhirnya (setelah penantian dua tahun)!.  tengahari tadi staff ajak ke dewan makan utama, ooo rupanya ada makan...dapatlah sepinggan nasi putih sepotong ikan tenggiri  berkuah kari dan dua batang pendek kacang panjang, dah makan mensyukuri nikmat itu dengan membaca......  
اَلْحَمْدُ لله الَّذِى اَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

Kalau di kedai, makan seumpama itu akan dikenakan RM3.50 hingga RM4.00 tapi tengahari tadi free saja tak payah bayar (sebab makanan yang disediakan untuk peserta taklimat tak habis, maka selalunya news spread arround hmmm....faham faham jelah ada aje yang akan habiskan).   Itu pun pemberian Allah yang perlu disyukuri...mungkin bukan nasi briyani dengan ayam kampong atau nasi arab dengan daging panggang... tapi masih pemberian bernilai buatku.

Dari sekecil-kecil pemberian hingga sebesar-besar pemberian yang diterima, kita patut mensyukuri nikmat yang mendatang. Hatta, bila dapat tahu Maryam dah pandai membaca (yeah...yeah...Maryam can actually read (BM) at 4 years and 10 months but she still need to practise)  Syukurnye....pada Allah tak terhingga.... dan terima kasih juga pada Dzuliman Bukit Rimau kerana menjadi jambatan kepada pemberian Allah yang tak ternilai pada kami....teruskan usaha mendidik dan membimbing anak-anak menjadi generasi bertaqwa, soleh dan musleh.

Thanks...Dzuliman! She's reading!


Syukur bukan setakat mensyukuri dengan kata-kata tetapi lebih dari itu....antaranya syukur melalui perbuatan - memperbanyakkan solat. (lihat http://hatimukmin.com/2011/10/24/cara-cara-muslim-bersyukur/)

Daripada Abi Umar as-Syaibani berkata: “Nabi Musa a.s telah berdoa semasa berada di Tuur, Sinai: “Wahai Tuhan, sesungguhnya aku telah menunaikan solat menuju keredhaan-Mu, aku telah bersedekah menuju keredhaan-Mu, aku telah menyampaikan risalah agama menuju keredhaan-Mu. Maka adakah aku telah mensyukuri-Mu?” Lalu Allah berfirman: “Wahai Musa, sekarang engkau telah mensyukuri-Ku”.

Apapun, kontraktor dah mula tugas kat bilik wudhuk tu. Syukur.....

Friday, April 6, 2012

Surat Cinta dari Izzat

Surat cinta...kedua Mama dia kena beli pen tekan, calculator,
Ini bukanlah surat cinta pertama yang kuterima dari Izzat...ini surat cinta kedua...Hehem...rindukan anak dapat surat pun terbawa-bawa hingga ke tidur. Surat cinta pertama yang kuterima dari Izzat pun lebih kurang sama cuma tajuk surat pertama adalah "Mama, Barang-barang yang perlu dibeli...." haha... gelihatiku.
Ini surat kedua beli barang yang diperlukan di asrama. Surat ketiga pula ....

Surat cinta ketiga...beli barang lagi...sedeynye...selipar kena buang siap cari dalam longkang lagi...
Walau apapun aku seronok terima surat-surat cinta Izzat...walaupun tujuannya menyuruhku membeli barang-barang keperluan.  Paling seronok Izzat dah tak fail matapelajaran geografi "Mama geografi dapat 58" hehehe...sebelum ini, subjek yang memerlukan pembacaan dan hafalan memang dia "out" sebabnya bukak buku geografi ke, sejarah ke memeang zzzzz....lah jawabnya...itu di rumah  tapi di asrama ada prep time...belajarlah tu...ada warden yang mengawasi mereka...walaupun maths dapat "51 je" tapi kami tak kisah yang penting istiqomah Izzat mengharungi kehidupan di asrama yang tak memberikannya peluang untuk buat perangai malas.  Bangun pukul 4:30 pagi terus ke balal Islam untuk qiamullail dan mengaji....berterusan dengan aktiviti yang tersusun sehingga tidur malam jam 10:30 malam.  Kami seronok melihat Izzat seronok menceritakan kisah-kisahnya di asrama...sehingga tak puas bersamanya setiap kali kami bawanya keluar untuk "outing".  Tak percaya bila dia menceritakan bahawa pukul 10:30 malam kena tidur juga tapi tak sempat nak buat nota geografi...fuyoo...anakku yang sebelum ini tak boleh tidak kena tidur pukul 8:30 malam tu....minta tidur lewat nak buat nota geografi.....alahai anak sulong ku!

Monday, April 2, 2012

Masa pun berlalu...

Masa pun berlalu...

"Surah Al-’Asr...

[1] Demi Masa![2] Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian [3] Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."

Maryam setahun yang lalu masih merengek minta didukung....
Terasa masa berlalu dengan pantas...bertemu dengan anak-anak "hero" selang seminggu....mereka pantas membesar...melayari alam kehidupan dan mengemudi bahtera hidup mereka tidak lekang dengan zikrullah...namun apa sudahnya Allah saja yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.... Sebagai seorang ibu, Mama sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian semua....Moga segala bimbingan dan tarbiyah dari murabbi kalian akan mampu menguatkan semangat dan keyakinan melewati setiap gelombang dan badai kehidupan yang ditakuti sering bergelora ....Moga-moga bahtera anak-anak Mama akan berlabuh di tempat yang mendamaikan sebagaimana diijanjikanNYA kepada orang-orang yang soleh....


Setahun kemudian Maryam dah pandai nak ke Birthday Party "BFF"nya Dania....siap practise cakap "Happy Birthday Dania..." berulang kali sebelum sampai rumah birthday girl, sampai je dah jumpa tak terkata...bila jumpa je BFF bagi hadiah terlupa nak cakap apa yang dah practise nya tu....Maryam, maryam...remind me, how fast the clock is ticking......



Friday, January 13, 2012

Rezeki

"
“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi…” (Al-A’raf: 96)
Cerita pasal bonus...ada yang merunggut...merunggut sebab tak dapat full bonus.  Aku? memang tak dapat full bonus pun ...dah agak dah.... berapa pun markah prestasi yang diperolehi akan dicantas juga kerana sering terlewat ke ofis (tapi masa diganti, InsyaAllah), terambil emergency leave yang tidak disengajakan...  Apa pun rezeki...rezeki Allah yang punya...serupa juga dengan wajah kita, bentuk badan kita, suara kita, IQ kita, tahap kepandaian kita, anak-anak yang dikurnaikan kepada kita sama ada pandai, bijak atau kurang pandai batau kurang bijak,  cacat atau punya IQ yang terlebih excellent dan semuanya itu adalah REZEKI dari KETENTUAN ILLAHI....itulah dia hidup di dunia!

Thursday, January 12, 2012

Inilah favourite song Maryam... berulang-ulang minta diputarkan lagu ini...

Demi Matahari

Album : Di Pintu Langit
Munsyid : Snada
http://liriknasyid.com


Demi matahari dan sinarnya di pagi hari
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi

Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya

Allah, Subhanallah … Allah, Subhanallah
Allah, Subhanallah … Allah, Subahanallah

Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya ...
Subhanallah

Sebenarnya lirik lagu ini dipetik dari surah Asy-Syams. Intipati surah itu adalah :  Sesungguhnya manusia dilhamkan  oleh Allah jalan yang baik dan yang buruk....

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)."
-Surah Al-A'raf 7: Ayat 201.

"Dari Abu Abdullah An-Nu'man bin Basyir r.a. katanya : saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu terang dan di antara keduanya pula terdapat pekara-perkara yang subahat yang tiada diketahui oleh orang ramai. Orang yang memelihara dirinya dari pekara-perkara yg syubahat itu adalah orang yg melindungi agama dan kehormatan dirinya. Org yg tergelincir ke dalam pekara syubahat itu akan tergelincir masuk ke dalam pekara haram.  Laksana seorang pengembala di pinggir sebuah tempat larangan, yang akhirnya lalai dan masuk ia ke dalam tempat larangan itu. Adapun bagi setiap raja sebuah tempat larangan, dan tempat larangan Allah itu adalah pekara-perkara  yang diharamkanNya. Dan ketahuilah pada setiap jasad itu seketul daging. Andainya ia baik, baiklah seluruh jasad itu dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh jasad itu. Itulah hati. "


Semoga kita semua akan dapat menilai baik dan buruk, yang halal dan yang haram, sifat mahmudah dan mazmumah agar kita terlindung dari api neraka.
keindahan flora kurniaan Allah semuanya milik Allah...

Wednesday, January 11, 2012

Hijrah Izzat 2012

Akhirnya kami memilih Institut Pintar Tahfiz Darul Fuqaha untuk Izzat meneruskan pengajiannya.  Selain dari pengajian akademik, hafazan juga sama ditekankan.  Dari jadual harian, memang penuh dan terisi, sesuailah dengan misi dan visi Darul Fuqaha.  Mula-mula bila tengok jadual nampak terlalu padat bermula jam 4 pagi berterusan dengan program akademik dan hafazan sehingga tidur jam 10 malam setiap hari itulah rutin bagi anak-anak tahfiz Darul Fuqaha.  Namun bila difikir-fikirkan, mungkin yang terbaik bagi Izzat dalam meniti usia remaja biarlah Izzat melayari kehidupannya dipenuhi dengan bimbingan agama dan asuhan kerohanian paling mantap sebelum menjejaki gerbang materialis dalam era globalisasi bila dewasa kelak (yang tinggal beberapa tahun saja lagi).

asrama Izzat...tempat berehat dan beradu, semoga anakku sentiasa dilindungi Allah...“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak.” (An-Nisa’: 100)
Pada 10 Januari 2012 merupakan hari pendaftaran persekolahan dan kami mengambil cuti untuk menghantar Izzat  ke tempat baru.  Perasaaan kami bercampur-campur dan secara khusus, tak boleh nak dinyatakan dengan perkataan.  Setelah kami membayar yuran persekolahan dan asrama, semua ibu bapa pelajar baru diberikan taklimat dan seterusnya kami di bawa ke asrama.  Di asrama, kami membantu Izzat mengemaskan almari dan tempat tidurnya.  Waktu ini, sayu hatiku melihat Izzat tapi Izzat tetap maintain...seperti biasa tak banyak cakap, tak ada komplen dan mimik muka yang biasa sahaja.  Namun ada yang menggembirakan kami kerana asrama baru dah siap bertempat di tingkat atas dalam bangunan Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Darul Fuqaha.  Apa yang kami harapkan, semoga Izzat selesa di tempat barunya itu.....dan moga "Hijrah Izzat" akan mendewasa dan mematangkan dirinya dan seterusnya berwibawa menjadi seorang mukmin yang beriman dan bertaqwa di sisi Allah s.w.t.

Monday, January 9, 2012

2012...merubah kehidupan

"Ahli al-Qur'an" sebagaimana yang dijelaskan oleh Ibnu Majah adalah golongan yang menghafal al-Quran, banyak membaca al-Quran dan beramal dengannya.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ لِلَّهِ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ أَهْلُ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ
Ertinya: “Dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai ‘ahli’ dari kalangan manusia. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu?” Baginda berkata: “Merekalah ahli al-Quran iaitu ‘ahli’ Allah dan golongan pilihanNya.” (HR. Ibn Majah)

Alhamdulillah anak-anak telah selamat menjalani pra kelayaka untuk memasuki Maahad Tahfiz Al-Quran Al- Islah (MTQI).  Alhamdulillah pendaftaran telah selesai semalam hari Ahad, 8 Januari 2012 yang bermula di MTQI di Seksyen 7, Shah Alam sehingga sebelah petangnya dihantar untuk pendaftaran penempatan di Desa Pinggiran Putra.  Kini Haziq dan adiknya, Luqman mula menjalani hidup di taman kalamullah...berjuang untuk mencapai objektif menjadi ahli al-'Quran...Ya Allah terangilah hati anak-anakku, kuatkanlah ingatan mereka, teguhkanlah semangat dan tidak putus beristiqomah menghafal ayat-ayatMu....semoga Haziq dan Luqman terpilih antara hamba-hambuMu sebagai Ahli al-'Quran!

Haziq dan Luqman.....


Semoga mereka beroleh kemenangan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...